Pembentukan alam semesta
Proses
kejadian alam dari pandangan al Quran
Proses kejadian alam ini satu
persoalan yang menarik sejak dari zaman dahulu hingga ke hari ini. Manusia masih
ingin mencari kepastian asal usul kejadian alam ini. Bagaimana proses
kejadiannya. Bagaimana alam ini terjadi dan diciptakan. Manusia masih
tercari-cari jawapannya. Manusia tidak jemu-jemu dengan segala usaha dan
kemahiran yang ada untuk mencari jawapannya. Ahli-ahli sains hari ini dengan
teknologi tinggi dan canggih masih
terus berusaha untuk mencari rahsia kejadian alam ini.
Allah yang menciptakan alam ini
tidak membiarkan manusia untuk mencari
jawapannya kerana Dia Maha Mengetahui akan kelemahan hambaNya. Kelemahan manusia
sungguh banyak contohnya kita tidak boleh menjelajah jauh ke seluruh pelusuk
alam untuk mengetahui keadaan sebenar seluruh alam. Apa yang manusia boleh
lakukan hanya meramalkan berdasarkan dengan sedikit ilmu yang ada pada ketika
itu. Mungkin betul dan mungkin juga salah. Oleh kerana itulah Allah telah
memberitahu manusia jawapan bagaimana dan siapa yang menciptakan alam ini.
JawapanNya diterangkan di dalam al Quraan melalui RasulNya. Di dalam al Quraan
yang suci Allah menyebutkan Dialah yang menciptakan alam semesta ini dengan
kekuasaan dan kehendakNya. FirmanNya yang bermaksud:
"Dan
Dialah menciptakan langit dan bumi dengan benar. Dan benarlah
perkataanNya diwaktu Dia menyatakan, Jadilah lalu
terjadilah', dan di
tanganNyalah segala kekuasaaan diwaktu sangkakala ditiup. Dia
mengetahui yang ghaib dan yang nampak. Dan Dialah yang Maha
Bijaksana lagi Maha Mengetahui"
al
Anaam: 73
Allah telah menciptakan langit
dan bumi ini melalui proses-proses yang dikehendakiNya. Sebahagian daripada
proses-proses kejadian alam ini telah diterangkan oleh Allah dengan jelas di
dalam al Quran. Allah telah menerangkan bahawa kejadian langit dan bumi ini
asalnya daripada satu yang padu, kemudian dipisahkan menjadi langit dan bumi.
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan apakah orang-orang kafir, tidak mengetahui
bahawasanya langit dan bumi itu kedua-duanya dahulu adalah suatu yang padu,
kemudian Kami pisahkan kedua-duanya. Dan daripada air Kami jadikan segala suatu
yang hidup. Maka mengapakah mereka tidak juga beriman?
Ayat ini menerangkan asal
kejadian alam semesta, terdapat tiga maklumat penting yang terkandung di dalam
ayat ini berkaitan dengan kejadian alam semesta(Dr.Zakaria Awang Soh,1990)
~ Bahan
yang membentuk alam semesta ini merupakan satu entiti (suatu yang
wujud) tunggal.
~
Keseluruhan alam semesta, langit dan bumi adalah tercantum dalam satu unit.
~ pemisahan
berlaku secara sistematik untuk menghasilkan hukum-hukum fizikal
dan peningkatan jirim (ordering
matter)
Perkataan "ratq"
membawa maksud memadukan unsur-unsur menjadi satu jasad yang padu. Jasad yang
padu inilah yang menjadi asal mula alam. Perkataan "fatq" membawa
maksud dipisahkan atau dipecahkan. Jasad yang padu tadi kemudiannya melalui
proses pemisahan. Bagaimana proses pemisahan itu tidak dapat dijelaskan. Jika
dilihat kepada alam semesta yang wujud hari ini menggambarkan proses pemisahan
ini berlaku dalam satu kuasa pemisahan yang sungguh hebat dan amat kuat.
Proses pembentukan alam ini
berlaku secara bertahap-tahap selepas dari pemishan itu. Hal ini seperti yang
disebut di dalam alQuraan yang bermaksud;
"Kemudian
Dia menuju kepada penciptaan langit dan langit itu masih merupakan asap lalu Dia
berkata kepadaNya dan bumi, Datanglah
kamu keduanya menurut perintahKu dengan suka hati atau terpaksa
keduanya menjawab 'kami datang dengan suka hati'
Maka Dia menjadikan tujuh langit dalam masa dua masa dan Dia
mewahyukan pada tiap-tiap langit urusannya. Dan kami hiasi langit
yang dekat dengan bintang yang cemerlang dan Kami perliharanya
dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan yang Maha Perkasa lagi Maha
Mengetahui."
Fushilat
: 11-12
Seluruh proses kejadian alam
ini berlaku secara sistematik dengan ukuran yang rapi dan tepat seperti yang
disebut di dalam alQuraan
"Sesungguhnya
Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)."
AlQamar :49
Manakala alam semesta yang
diciptakan oleh Allah ini sentiasa mengembang atau keluasan alam ini sentiasa
bertambah dari masa kesemasa. Ini bermaksud segala apa yang ada di alam ini
sentisa bertambah terhadap masa. FirmanNya
bermaksud:
"Dengan
kemahiran dan kekuasaan Kami, Kami bangunkan
langit dan Kami kembangkannya"
Azariat : 4
Putaran bumi
Kita semua dapat hidup di atas muka bumi ini kerana bumi berputar di atas
paksinya dalam tempoh 24 jam sehari. Cuba bayangkan sekiranya bumi ini tidak
berputar, mustahil kita dapat hidup dengan aman dan sentosa di permukaan bumi.
Dari putaran inilah terjadinya siang dan malam. Permukaannya yang
menghadap matahari akan mengalami siang manakala permukaan yang membelakangkan
matahari akan menjadi malam. Seandainya bumi tidak berputar maka sudah tentu
bahagian yang menghadap matahari akan menjadi siang selama-lamanya hingga hari
kiamat dan begitulah sebaliknya.
Apakah yang akan terjadi sekiranya siang berlaku terus menerus? Sudah
pasti keadaan udara dan hawa dari saat ke saat, dari minit ke minit dan dari jam ke jam akan menjadi bertambah panas. Dalam
tempoh 100 jam sahaja udara akan mencapai takat didih 100ºC sehingga lautan,
tasik, danau, sungai dan sebagainya akan mendidih dan menggelegak. Cuba anda
bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya seluruh sungai, danau dan samudera
mendidih airnya? Begitu juga darah yang mengalir di dalam tubuh kita juga turut
mendidih. Dalam keadaan sedemikian, tidak ada satu pun makhluk yang dapat hidup.
Semuanya akan mati dan musnah menjadi debu-debu yang berterbangan.
Apa pula yang akan terjadi sesudah 100 jam atau 1000 jam berikutnya?
Bukan sahaja semua ini akan mendidih, bahkan semua permukaan bumi ini sama ada
benda-benda pepejal atau sebagainya, akan menjadi bara api yang tersangat panas.
Ketika itu, bukan setakat manusia sahaja akan mati terbakar malahan bumi ini
sendiri akan terbakar menjadi debu dalam sekelip mata sahaja.
Kemudian apa pula yang akan terjadi sekiranya waktu malam berlaku terus
menerus sehingga hari kiamat? Hawa dan udara dari saat ke saat dan seterusnya
dari jam ke jam akan terus bertambah dingin sehingga dalam tempoh 100 jam sahaja
akan mencapai takat 0ºC sehingga seluruh air dan benda yang cair akan membeku
menjadi ais yang pejal dan keras. Mungkin di saat itu, manusia dan
binatang-binatang masih dapat hidup seperti keadaan di Kutub Utara dan Selatan.
Namun begitu, bagaimana pula keadaannya sesudah 100 jam atau 1000 jam berikutnya?
Apabila udara dan suhu menjunam turun ke bawah paras 0ºC maka sudah pasti akan
lenyaplah segala kehidupan di muka bumi ini.
Kedua-dua ibarat ini harus kita fikirkan sedalam-dalamnya untuk melihat
betapa hebatnya kekuasaan Allah dan juga perlindungan-Nya yang diberikan untuk
kehidupan setiap makhluk khasnya kita sebagai manusia yang dikurniakan akal
fikiran yang sempurna. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Katakan pula, bagaimanakah pendapat kamu sekiranya Allah menjadikan
siang terus menerus sampai hari kiamat? Siapakah selain Allah yang akan
mendatang malam kepadamu yang kamu dapat beristirehat padanya?
Maka apakah kamu tidak memperhatikannya? Dan kerana rahmatnya-Nya, Dia
jadikan untuk kamu malam dan siang supaya kamu beritirehat pada malam itu dan
supaya kamu mencari sebahagian dari kurniaan-Nya (pada siang hari) dan agar kamu
bersyukur kepada-Nya.”
(Al-Qasas:
72-73)
Dengan adanya putaran bumi siang dan malam maka keadaan hawa di permukaan
bumi ini menjadi seimbang dan sederhana iaitu tidak terlalu panas dan tidak
terlalu dingin. Sehingga manusia, haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan dapat hidup
dengan selesa di permukaan bumi ini.
Ya... semamangnya kita harus renungkan siapakah lagi selain Allah yang
dapat memutarkan bumi sebesar ini? Iaitu planet yang berukur lilit 40,003 km dan
beratnya beribu-ibu juta tan itu. Perkara ini hendaklah kita fikirkan
sedalam-dalamnya. Seterusnya hendaklah kita selalu mengingati dan berterima
kasih kepada Allah s.w.t. Janganlah kita sekali-kali menjadi orang-orang yang
seakan-akan tidak mendengar dan melihatnya sedangkan kita mempunyai telinga,
mata dan akal untuk bersyukur memuji-Nya.
Peredaran Bumi Mengelilingi Matahari
Selain daripada berputar atas paksinya, bumi juga berputar mengelilingi
matahari dalam lingkaran orbitnya yang amat luas. Ingatlah bahawa jarak antara
bumi dengan matahari adalah 149,000,000 km dan putarannya mengambil masa selama
365¼ hari iaitu setahun mengikut perkiraan kita.
Semasa beredar mengelilingi matahari, bumi akan berputar di atas paksinya
dalam berkeadaan condong. Maka sesetengah negara yang terletak jauh dari garisan
khatulistiwa akan lebih terdedah kepada cahaya matahari lalu jadilah musim panas
ataupun kurang menerima cahaya matahari lalu jadikan musim sejuk. Sebagai akibat
daripada pergantian musim ini terjadilah pelbagai jenis tumbuhan dan buah-buahan
di permukaan bumi ini yang menjadi nikmat dan hikmah yang amat besar kepada
seluruh kehidupan di muka bumi.
Begitulah keadaannya dari semasa ke semasa dan silih berganti tanpa
henti-henti sehingga hari kiamat... akibat peredaran bumi di sekeliling matahari.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“... Dan engkau lihat bumi ini kering tetapi setelah kami turunkan
air (hujan) padanya, ia menjadi lembut dan subur dan menumbuhkan pelbagai macam
tumbuhan dan buah-buahan yang cantik dan lazat.”
(Al-Hajj:
5)
Firmannya lagi yang bermaksud:
“Dan kami hamparkan bumi itu dan kami letakkan padanya gunung-ganang
yang kukuh dan kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang
mata.”
(Qaaf: 7)
Jarak
Di Antara Bumi Dengan Planet-Planet Lain
Kita sudah pun mengetahui jarak di antara bumi dengan matahari dan
semamangnya telah dapat dibuktikan menerusi sains dan nas-nas Al-Quran bahawa
jika jarak itu berubah sedikit sahaja maka terjadilah kerosakan yang amat
dahsyat di bumi.
Sekiranya bumi mendekati matahari dengan kadar lebih atau kurang dari
jarak yang sedia ada sekarang maka sudah pasti akan berlaku mala petaka dan
bencana-bencana alam yang tidak terkira dahsyatnya. Begitulah juga bulan dan
planet-planet lain, sekiranya terkeluar sedikit dari orbitnya sama ada terlebih
atau terkurang nescaya akan berlanggaran antara satu sama lain.
Jarak tertentu yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. bagi bumi di
tengah-tengah angkasa raya dan cakerawala-cakerawala ini merupakan
perlindungan-Nya yang sangat besar faedah dan manfaatnya kepada seluruh
kehidupan di muka bumi. Lebih-lebih lagi untuk kehidupan dan kesejahteraan hidup
manusia. Semuanya ini harus kita renungkan. Jangan sekali-kali kita gunakan akal
dan fikiran semata-mata untuk perkara-perkara yang kecil dan remeh sahaja
seperti soal makan, pakaian, perhiasan dan sebagainya. Mengapa kita tidak
gunakan keupayaan sebenar akal yang dikurniakan Tuhan iaitu untuk merenung alam
ciptaan-Nya seterusnya mendatangkan kesedaran, keyakinan dan kegerunan kepada
kebesaran Allah s.w.t. Ini selanjutnya dapat membina sikap dan akhlak yang
sentiasa bertunjangkan ajaran Islam dan syariatnya. Menggunakan akal sedemikian
barulah memberi faedah yang sebenar-benarnya kepada manusia yang membawa kepada
kebahagiaan hidup dan jauh daripada amalan atau perbuatan yang merosakkan.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah
permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu
serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak... Dan kehidupan dunia
ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.”
(Al-Hadid
: 20)
Jika kita renungkan sedalam-dalamnya bahawa setiap bintang dan planet itu
bebas bergerak di angkasa raya, bergerak dan berputar dari abad ke abad,
masing-masing tetap pada jaraknya yang tertentu maka sedarilah betapa hebatnya
kukuasaan Allah s.w.t. dalam mengatur segalanya sehingga saling tidak
berlanggaran. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Matahari berjalan di tempat yang ditetapkan baginya. Demikianlah
Allah Yang Maha Gagah Lagi Maha Mengetahui. Sedangkan bulan kami tentukan
baginya tempat yang tertentu sehingga ia kembali berbentuk seperti pelepah kurma
yang kering (bulan sabit). Tiadalah matahari mendekati bulan dan tidak pula
malam mendahului siang sedang semuanya beredar pada garis edarannya (orbit).”
(Yassin
: 38-40)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar